15 January 2014

Lelaki Dipeluk Unta Umpama Seorang Sahabat Lama!

Seekor unta menunjukkan emosi seperti manusia dan ingatan yang kuat apabila ia memeluk bekas pemilik warga Arab Saudinya dengan penuh kasih sayang selepas berjumpa kembali sejak sekian lama.

Dipeluk Unta

Bekas pemilik unta itu sendiri terkejut apabila unta berkenaan berlari mendapatkannya dan membelit bekas pemilik terbabit dengan lehernya yang panjang itu.

Lelaki berkenaan yang namanya tidak didedahkan dikatakan melawat ladang haiwan kepunyaan pemilik barunya kerana merindui unta yang pernah dipeliharanya itu.

Satu gambar yang diterbitkan akhbar berbahasa Arab, Sada Arabic menunjukkan petani itu dipeluk unta berkenaan dengan lehernya.

Laporan itu menyebut, Ia membelit leher bekas pemiliknya seolah-oleh mengatakan walaupun kamu sudah menjual saya, saya masih menyayangi kamu.

Gambar itu yang turut disiarkan beberapa laman sosial, segera mencetuskan pelbagai ulasan, kebanyakannya menyatakan rasa terharu berikutan kasih sayang yang ditunjukkan unta dan bekas pemiliknya.
Mereka juga terkejut dengan reaksi haiwan itu.

Walaupun lelaki berkenaan mengetahui unta itu akan mengenali beliau, beliau tidak menjangka binatang itu akan menunjukkan reaksi demikian terhadap manusia.

Sumber: Berita Harian

12 January 2014

Gadis Ular Gemparkan Thailand

Gadis berusia 8 tahun, Mai Li Fay, dari Bangkok, adalah jauh dari kehidupan yang biasa seorang gadis sebayanya.


Setiap hari, beribu-ribu orang datang berkunjung dan berkumpul di depan rumah keluarganya untuk mengambil peluang melihat dan menyentuh gadis itu, yang dianggap oleh penganut buddha dan hindu sebagai boleh memberikan nasib baik.

Menurut pakar perubatan terkemuka Thailand, Dr Ping Lao, gadis muda itu mengalami sindrom yang jarang berlaku dikenali sebagai Malianorcis Serpentosis atau penyakit Jing Jing, yang menjadikan badan lebih rendah, berbentuk reptilia yang berbeza dari manusia biasa.

Hanya segelintir kes-kes seumpamanya telah direkodkan sepanjang sejarah, jadi pengetahuan saintifik terkumpul berkaitan kes seumpama itu agak terhad dan tidak ada penyelesaian perubatan sehingga waktu ini.


Keluarga menerima keadaan Mai Li dengan perasaan bercampur, kesedihan dan kegembiraan.

Sedih dengan keadaan Mai Li, tapi gembira kerana sebagai keluarga miskin, kehadiran tetamu yang tidak berkesudahan (pelancong dan tetamu agama) telah menjadikan keluarga miskin ini beroleh pendapatan yang besar dan meningkatkan taraf hidup mereka.

9 January 2014

Penyakit-penyakit Aneh Yang Membawa Derita

Kita biasa menemui beberapa penyakit aneh pada manusia dengan setiap satu berbeza kesannya. Kehidupan biasa diduga dengan penyakit yang kita sendiri tidak tahu entah bila wujudnya dan ia memang menyedihkan.

Melihat sanak-saudara atau diri sendiri demam sudah cukup buat hati sengsara apatah lagi lainnya. Cuba perhatikan antara penyakit aneh ini.

Parasitic Twin (janin dalam janin)

Parasitic Twin (janin dalam janin)

‘Kembar Parasit’ adalah penyakit luar biasa berbeza daripada kes kembar siam. Ia terjadi apabila salah satu bayi dalam kandungan membesar lebih baik berbanding kembarnya.

Hal ini membuatkan janin yang tidak sihat sangat bergantung kepada kembarnya, dan ia sekali gus disebut parasit.

Peliknya, apabila dilahirkan, kedua-duanya akan bercantum seperti kembar siam tetapi dalam keadaan lebih mengerikan kerana tubuh badan bayi yang melekat dilahirkan kurang sifatnya.

Ada kes dilaporkan, kembar tak sempurna itu hanya berbentuk tangan, kaki, atau alat kelamin yang menempel pada pasangannya.

Dipercayai, keadaan ini berlaku disebabkan pencemaran atau pengaruh radioaktif selain penelitian turut berpendapat kekurangan protein sonic hedgehog (SHH) boleh menyebabkan kes seperti ini.

Sindrom argyria

Sindrom argyria

Argyria adalah keadaan disebabkan pendedahan yang tidak wajar kepada bentuk kimia unsur perak, habuk perak, atau sebatian perak.

Gejala argyria yang paling jelas ialah kulit menjadi biru atau berwarna biru kelabu. Penyakit ini boleh dibahagikan kepada generalized argyria (seluruh bahagian) atau localized argyria (bahagian tertentu saja). Argyrosis adalah keadaan yang berkaitan dengan mata.

Namun tiada rekod menyatakan penyakit ini boleh memendekkan jangka hayat, ada kes membabitkan kebanyakan penderita tetap hidup sehingga umur 80-an.

Progeria

Progeria

Progeria adalah penyakit disebabkan genetik. Ia adalah penyakit yang jarang ditemui dan keadaan genetik mati sehingga mempercepatkan proses penuaan.

Dalam bahasa mudah difahami adalah proses penuaan berlaku secara mendadak. Akibatnya, pesakit mengalami botak, penyakit jantung, struktur tulang lemah, kulit berkedut, mata seperti tersembul dan wajahnya kelihatan seperti kanak-kanak.

Dilaporkan, satu daripada lapan juta orang menghidapi penyakit ini. Kanak-kanak yang menghidapinya dipercayai dapat menjalani kehidupan biasa sehingga umur 13 tahun namun dalam beberapa kes berlainan, ada antaranya hidup sehingga awal dua puluhan.

Tidak ada siapa yang mengetahui jumlah sebenar kanak-kanak mempunyai progeria.

Bagaimanapun, pakar-pakar menganggarkan terdapat kira-kira 200 hingga 250 kanak-kanak menjalani kehidupan sebagai progeria pada satu masa.

Hypertrichosis (sindrom serigala)

Hypertrichosis (sindrom serigala)

Apakah yang terlintas di benak anda ketika melihat perkataan ‘sindrom serigala’, adakah ia sejenis penyakit mutasi genetik menyebabkan penderita berubah menjadi serigala atau membuat si penghidap menjadi ganas seperti serigala? Tidak.

Hypertrichosis bererti rambut berlebihan. Masalah genetik pada manusia disebabkan mutasi genetik ketika lahir atau faktor luaran seperti kesan samping ubat-ubatan, kanser, bahkan gangguan makan boleh membuatkan rambut tumbuh di tempat tidak sepatutnya.

Bukan itu saja, rerambut itu juga tumbuh berlebihan hingga menutupi seluruh permukaan tubuh sekali gus membuatkan penderita kelihatan seperti manusia serigala.

Hypertrichosis boleh terjadi sama ada kongenital (hadir pada masa kelahiran) atau diperoleh di kemudian hari.

Skizofrenia

Skizofrenia

Berkaitan kekacauan otak yang diertikan tidak normal. Istilah ini dicipta oleh Eugen Bleuler (1857 - 1939) pada tahun 1908. Skizofrenia adalah penyakit otak akibat ketidakseimbangan salah satu sel kimia dalam otak.

Bahasa mudahnya, ia gangguan biokimia kompleks pada otak yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk membezakan antara kenyataan atau ilusi.

Sehingga ke hari ini, ubatnya belum ditemui secara nyata. Ataupun, gangguan jiwa psikologi hingga menyebabkan rasa normal hilang dan membuatkan penghidapnya bertindak tidak normal.

Ia sukar untuk dikesan sehinggalah penghidap bertindak di luar batas. Namun begitu, dalam kajian berlainan mendapati beberapa jenis rawatan untuk mengubati penyakit ini seperti ubat-ubatan, psikoterapi atau kaunseling dan rehabilitasi.

Rehabilitasi merujuk kepada proses berterusan untuk mengembalikan keupayaan seseorang pesakit akibat sesuatu peristiwa yang berlaku atau kecederaan.

Ubat-ubatan skizofrenia seperti Alhaloberdol dan Alklorobermazzin boleh meringankan gejala psikotik aktif seperti halusinasi audio dan delusi.

Bahayanya, pelbagai perkara boleh dilakukan penghidap tanpa sedar termasuk mencederakan orang lain.

Sumber: Harian Metro Online

6 January 2014

Awan Aneh Di Luar Sistem Suria

Ahli kaji bintang mengesan awan aneh di atmosfera dua planet di luar sistem suria, dengan dua kertas penyelidikan menunjukkan jenis mendung di dunia asing itu mungkin sebenarnya fenomena biasa berbanding yang disangka sebelum ini.

GJ 1214b

Namun ia bukanlah awan yang sama dengan yang ada di Bumi dan besar kemungkinan terhasil daripada bahan seperti zink sulfida atau potassium klorida.

Awan di Bumi, sebaliknya mengandungi gabungan titisan air dan ais.

Dua pasukan penyelidik berasingan memeriksa data daripada Teleskop Angkasa Lepas Hubbel berkaitan dengan planet luar sistem suria GJ 1214b dan GJ 436b.

Terletak 42 tahun cahaya dari Bumi, GJ 1214b adalah contoh utama planet super-Bumi manakala GJ 436b pada jarak 36 tahun cahaya adalah Neptun panas.

Biasa wujud

Super-Bumi adalah planet dengan jisim antara Bumi dan Neptun manakala Neptun panas, seperti namanya, adalah versi panas planet Neptun. Ia mengekalkan orbit dekat dengan bintang tidak sampai satu unit astronomi secara kasar jarak purata dari Bumi ke matahari, atau sekitar 144 juta kilometer.

“Kami tahu awan mesti ada untuk sebahagian planet, tetapi kini kami ada keputusan menunjukkan awan itu sebenarnya biasa wujud,” kata pakar astronomi di Institut Teknologi California di Pasadena, Heather Knutson, yang juga penulis utama kajian mengenai GJ436b kepada Space.com.

Kaji komposisi planet

Komposisi planet dikaji apabila ia melalui bintang. Apabila transit itu berlaku, molekul yang membentuk atmosfera eksoplanet itu menghalang bahagian berbeza spektra cahaya.

Dengan merakamkan seksyen mana yang membuat laluan dan yang mana tidak, pakar astronomi boleh menyimpulkan apa yang membentuk planet berkenaan.

Bagi GJ 1214b, pemerhatian itu diketahui kerana tidak mendedahkan petanda sebarang atmosfera langsung.

Ia bermakna awan tebal menghalang cahaya atau planet berkenaan dihasilkan daripada molekul berat seperti air, dengan graviti menekan bahan itu menjadi lapisan nipis dan mampat. –AGENSI

3 January 2014

Gambar Keluarga Yang Pelik Dan Memalukan

Sudah menjadi lumrah, setiap keluarga pasti ada merakam gambar-gambar kenangan.


Tapi walaupun mempunyai nilai sentimental, tak semua gambar-gambar tersebut rela kita kongsikan kepada umum, betul tak?

Hal ini kerana tak semua gambar terutama yang diambil menggunakan kamera dan filem memaparkan keadaan keluarga kita yang sempurna.

Lainlah zaman digital sekarang, mana-mana gambar yang tak diingini boleh dipadam serta merta sebelum gambar baru diambil mengikut kemahuan hati.

Di bawah, kami kongsikan antara gambar keluarga yang boleh memalukan anak-anak atau anggota keluarga anda jika ia dikongsikan dengan orang lain.