25 July 2015

Fosil Ular Pelik Berkaki Empat Ditemui Buat Pertama Kali

LONDON – Sekumpulan saintis antarabangsa buat pertama kalinya berjaya menemui satu fosil ular berkaki empat di Brazil yang dianggarkan berusia kira-kira 113 juta tahun.


Media Britain pada Jumaat melaporkan penemuan terbaharu mengenai spesis ular purba ini dipercayai merupakan lelulur nenek moyang kepada generasi ular zaman moden.

Menurut kajian yang diketuai para saintis dari Britain dan Jerman, spesis dikenali sebagai Tetrapodophis amplectus ini hidup ketika awal zaman batu kapur iaitu kira-kira 100 hingga 146 juta tahun lalu.

Spesis ini dikatakan mempunyai banyak persamaan ciri ular klasik seperti hidung pendek, tempurung kepala dan badan yang panjang, bersisik, gigi bertaring dan rahang mudah lentur untuk menelan mangsa besar.

Difahamkan, spesis ular berkaki empat ini tidak pula menggunakan kakinya itu untuk bergerak, sebaliknya hanya untuk memegang mangsanya daripada cuba melepaskan diri.

Selain itu, kaki daripada fosil ini juga menunjukkan ia lebih sesuai untuk tujuan mengorek lubang di tanah dan bukannya berenang di kawasan berair.

Oleh itu, para saintis percaya bahawa sejarah asal-usul ular tersebut berasal dari daratan dan bukan daripada moyang leluhur mana-mana hidupan marin.

Sebelum ini, beberapa fosil ular berkaki belakang turut dilaporkan pernah ditemui dan bukti itu kini dipamerkan kepada awam di muzium sejarah semula jadi di London. –Agensi

24 July 2015

Sindrom Pelik Fasih Loghat Cina Lepas Bangun Tidur!

Seorang wanita warganegara British dikatakan fasih bercakap bahasa Inggeris dengan loghat orang Cina selepas terbangun dari serangan strok yang dialaminya.

Sarah Colwill

Sarah Colwill, 40, tidak pernah merantau ke negara China.

Situasi yang dihadapi oleh Sarah merupakan salah satu penyakit daripada 20 kes di seluruh dunia yang digelar Foreign Accent Syndrome.

Sarah yang tinggal di Plymouth, England telah mencuba pelbagai jenis rawatan bagi mengubati sindromnya itu namun tidak berkesan.

“Diberitahu bahawa ia akan berkekalan selama-lamanya merupakan perkara paling sedih untuk didengar. Ia sangat mengejutkan.

“Saya masih orang yang sama di dalam, orang yang tidak kenal saya pasti akan merasakan saya berbeza tapi sebenarnya saya masih Sarah dari Plymouth,” katanya kepada media.

“Kadang-kadang orang ramai tidak akan memahami saya, ia amat mengecewakan. Jika percakapan saya terlalu teruk, saya akan mendiamkan diri.

“Saya tidak boleh ubah gaya percakapan saya, ianya kekal dan saya tidak boleh ubah,” tambahnya.

Sindrom ini pertama kali dikenal pasti pada perang dunia kedua dimana seorang wanita Norway yang mengalami kecederaan pada otak tersedar dengan loghat orang Jerman yang kuat.

Akibat daripada itu, dia telah dipulaukan oleh komunitinya pada tahun 1941. –Agensi

8 July 2015

Ular Sawa Pelik ‘Pakai’ Batu Akik Gemparkan Penduduk

Tuban (Indonesia) – Penduduk di kampung Sendanghaji di Tuban, Jawa Timur terkejut apabila menangkap ular sawa yang mempunyai benjolan di kepala seperti batu akik.

Ular-Sawa-Pelik

Ular sawa sepanjang lima meter itu ditangkap penduduk selepas banyak haiwan peliharaan mereka hilang sejak beberapa minggu lalu.

Seorang penduduk, Busro Ilham berkata, dia dan bersama beberapa penduduk kampung memburu ular sawa itu selepas banyak haiwan ternakannya hilang dipercayai dimakan reptilia berkenaan.

“Penduduk menjadi takut kerana banyak haiwan ternakan mereka seperti ayam, itik dan kambing hilang tiba-tiba,” katanya.

Katanya, mereka berjaya menangkap tiga ular sawa dewasa berhampiran kawasan kampung yang dipercayai memakan haiwan ternakan penduduk.

“Bagaimanapun, seekor ular sawa itu mempunyai benjolan di kepala dan selepas saya teliti ia seperti batu akik.

“Saya tidak tahu benjolan di kepala ular sawa jantan itu adalah batu akik atau ketumbuhan biasa,” katanya.

Tambahnya, dia meletakkan ular sawa itu di dalam satu sangkar di rumahnya dan berita mengenai haiwan berkenaan merebak ke seluruh daerah.

“Ramai penduduk yang datang ke rumah saya kerana mahu melihat ular sawa yang memakai batu akik.

“Ada juga yang mahu membeli ular sawa itu dengan harga yang tinggi, tetapi saya enggan menjualnya,” katanya.

Menurutnya, batu akik biasanya ditemui di dalam tanah dan ia selalunya dijadikan batu perhiasan cincin. –Agensi/myMetro Online