5 February 2013

Pokok Aneh Yang Memakan Daging Manusia

Pada 1878, seorang pengembara Jerman yang melawat Madagascar iaitu Carl Liche, sempat menyaksikan satu upacara menyeramkan yang dilakukan salah satu puak Orang Asli di wilayah itu. Pengembara itu menyaksikan puak Mkodo menangkap seorang daripada anak gadis kumpulan mereka dan menyerahkan kepada pokok gergasi yang aneh untuk dijadikan korban!

Ilsutrasi kisah Carl Liche mengenai pokok gergasi.Orang Asli Mkodo 
di Madagascar serahkan anak gadis kepada tumbuhan aneh sebagai korban.

Dia melihat bagaimana ahli kumpulan itu mengelilingi gadis terbabit sambil menujah lembing tajam ke arahnya dengan niat memaksa wanita malang itu memanjat tumbuhan gergasi berkenaan. Tidak seperti tumbuhan biasa, pokok aneh yang menyerupai pokok nanas gergasi itu kelihatan menyeramkan dengan bahagian jambul di atasnya dipenuhi jalur hijau seakan sesungut sotong kurita yang mengelilingi takungan berisi cecair tertentu.

Apabila gadis itu sampai di bahagian atas tumbuhan berkenaan, dia dengan berat hati dipaksa meminum cecair yang bertakung di atas pohon berkenaan. Serentak itu, dengan tiba-tiba tumbuhan berkenaan kelihatan hidup dan bergerak-gerak. Sesungut hijaunya dengan rakus membelit jasad gadis berkenaan menyebabkan dia menjerit lantang bagi menzahirkan ketakutan yang teramat.

Sebaik sahaja kisah menyeramkan itu dipaparkan didalam akhbar, tanda tanya segera tercetus di kalangan ramai pihak berhubung kewujudan tumbuhan aneh yang diceritakan itu. Lebih membingungkan adalah kisah berhubung tumbuhan misteri yang memakan manusia tidak tertera menerusi kisah berkenaan saja tetapi turut didapati dalam pelbagai kisah legenda di beberapa negara lain antaranya di Amerika Syarikat dan Mexico.

Beberapa tahun kemudian iaitu pada 1924, bekas Gabenor Michigan, Chase Osborn, dalam buku tulisannya bertajuk ‘Madagascar, Negeri Pokok Yang Memakan Manusia’ mengesahkan kewujudan tumbuhan karnivor berkenaan malah menyatakan bahawa puak Mkodo serta mubaligh yang pernah melawat wilayah itu mengetahui wujudnya pokok aneh itu.

Beberapa kenyataan pengesahan itu semakin membingungkan ramai pihak. Fakta yang diketahui ramai adalah tumbuhan tidak mampu bergerak secara bebas dengan sendirinya, apatah lagi untuk memakan dan menelan hidupan lain.

Setelah heboh mengenai kisah tumbuhan aneh itu, satu pencarian yang memakan masa bertahun-tahun dijalankan. Penemuan mengejutkan itu menyebabkan penyelidik biologi terkemuka, Charles Darwin menghabiskan masa selama 15 tahun untuk mengkaji tumbuhan berkenaan yang kemudian dikenali dengan nama saintifik ‘insectivores’.

Kajian mendapati, tidak seperti tumbuhan lain yang memperoleh ‘makanan’ mereka dengan menyerap mineral daripada tanah, tumbuhan karnivor memerangkap haiwan serta serangga dan memakan mereka bagi mendapatkan nutrien. Tumbuhan jenis ini dapat bergerak dengan sendirinya dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memerangkap mangsa mereka. Tumbuhan itu dikenali sebagai ‘venus flytrap’ atau nama saintifiknya ‘Dionaea muscipula’ dan juga ‘nepenthes’ yang banyak tumbuh di Asia Tenggara dan memerangkap serangga, katak dan haiwan sebesar tikus untuk dimakan. Namun, pencarian itu tidak menemui sedikitpun bukti tumbuhan karnivor yang mampu memakan manusia.

Tanpa penemuan memberangsangkan, penyelidik termasuk penulis sains, Willy Ley, berpendapat bahawa kisah Carl Liche seperti yang tertera didalam akhbar South Australian Register itu hanyalah rekaan semata-mata. Tiada pohon yang memakan manusia di Madagascar, tiada puak Mkodo ditemui di situ malah pengembara Jerman bernama Carl Liche juga didapati tidak pernah wujud di dunia ini.

[Sumber]

Terima kasih kerana membaca, komen la sikit.. ;)
EmoticonEmoticon